GOMBAK, 15 NOV: Penyampaian Notis 5A kepada penduduk Bukit Nenas, Batu Arang pada program Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan hak milik tanah rakyat terus terjamin.
Notis 5A ialah tawaran pemberimilikan tanah oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) kepada pemohon layak sebelum geran rasmi dikeluarkan.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata program berkenaan bukan sahaja membuka ruang interaksi dua hala antara agensi kerajaan dan komuniti, malah membuktikan keberkesanan dasar ISP yang selama ini memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Sebanyak 30 agensi kerajaan turut serta dalam program ini yang membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat secara langsung berhubung bantuan, perkhidmatan dan inisiatif disediakan.
"Dasar Iltizam Selangor Penyayang bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan terus melalui pelbagai bentuk sokongan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada program Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi ISP daerah Gombak di Dewan Seri Siantan, hari ini.

Anfaal menambah, setakat ini, lebih 21 juta penduduk Selangor menerima pelbagai manfaat di bawah dasar berkenaan, sekali gus menjadikan ISP bukti jelas bahawa dasar kebajikan negeri memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz menyifatkan program tersebut sebagai kesinambungan kepada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan sejak 2017 bagi memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada kemudahan dan bantuan kerajaan.
“Program ini juga penting untuk mengenal pasti isu setempat secara bersepadu termasuk masalah, aduan dan cadangan daripada komuniti seterusnya memudahkan agensi berkaitan mengambil tindakan segera.
"Program ini menjadi platform menyeluruh bagi mengukuhkan kesejahteraan sosial dan memastikan kebajikan rakyat terus menjadi fokus utama Kerajaan Negeri,” ujarnya.





