SHAH ALAM, 19 JUN: Tambahan RM5 juta diperuntuk pentadbiran negeri bagi pelaksanaan program MamaKerja untuk meringankan beban kos penjagaan anak-anak berumur enam tahun dan ke bawah.
Dato' Menteri Besar berkata tambahan menerusi Pakej Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu bakal membantu 5,000 wanita yang ingin terus bekerja selepas melahirkan anak dengan insentif RM1,000 seorang.
"Dengan mengambil kira keadaan sedia ada apabila kita berdepan krisis yang mampu memberikan kesan kepada ekonomi, Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan sebanyak RM5 juta.
"Ia supaya jumlah RM10 juta dapat memberikan manfaat RM1,000 kepada setiap wanita yang mempunyai anak berumur enam tahun dan ke bawah yang perlu duduk di taska ataupun pusat penjagaan," kata Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Jelasnya, program berkenaan antara usaha digerakkan dalam Belanjawan Selangor 2026 bagi membantu wanita yang bukan sahaja menjaga keluarga tetapi berperanan penting sebagai individu berkerjaya.
Amirudin menambah bantuan kewangan tersebut akan disalurkan melalui aplikasi Nine sebagai tanda penghargaan kepada kaum wanita yang berbakti kepada keluarga dan negeri.
Tambahan RM5 juta untuk MamaKerja bakal memperluas manfaat kepada 5,000 lagi ibu bekerja, menjadikan jumlah penerima keseluruhan seramai 10,000 orang di Selangor.
Inisiatif MamaKerja antara Tawaran Kita Selangor dalam 100 hari yang dijanjikan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat pada Ogos 2023.
Insentif sekali bayar sebanyak RM1,000 itu layak dimohon wanita bekerja yang memiliki tiga anak bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000.
Dalam pakej sama juga, seramai 30,000 warga Selangor yang mencari peluang pekerjaan akan dilibatkan dalam Program Kerjaya Selangor tahun ini, dengan peruntukan RM1.5 juta.
"Selain program Transisi Kerjaya PLATS, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Program Kerjaya Selangor yang lebih komprehensif dan bersasar yang mengutamakan pekerja yang hilang pekerjaan tahun ini.
"Dengan kerjasama agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan syarikat peruncitan, pembuatan dan logistik, Kerajaan Negeri akan melibatkan pihak berkepentingan serta pekerja yang hilang pekerjaan supaya kemahiran pekerja dapat dipadankan dengan industri yang memerlukan kepakaran sama," katanya.
Dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada 15 inisiatif baharu yang diumumkan bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 dengan peruntukan keseluruhan RM209.26 juta.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan peruntukan RM145.8 juta bagi pelaksanaan Fasa 1 merangkumi tujuh inisiatif yang sedang dilaksanakan ketika ini.







