ad

Belanjawan Selangor 2026: RM5 juta bina pusat latihan WTE lengkap simulator

14 Nov 2025, 12:12 PM
Belanjawan Selangor 2026: RM5 juta bina pusat latihan WTE lengkap simulator
Belanjawan Selangor 2026: RM5 juta bina pusat latihan WTE lengkap simulator

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta bagi membangunkan Pusat Latihan Sisa Kepada Tenaga (WTE) dilengkapi kemudahan simulator, tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalam sektor pengurusan sisa pepejal.

Menurut beliau, pusat itu juga bakal menjadi platform latihan khusus untuk meningkatkan kemahiran pekerja terutama dalam aspek operasi dan penyelenggaraan loji WTE.

“Kerajaan Negeri menyokong usaha Worldwide Holdings Berhad (WHB) untuk bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bagi membangunkan sebuah Pusat Latihan WTE yang dilengkapi kemudahan simulator,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata RM3 juta turut diperuntukkan bagi melaksanakan Program Career on Wheels melalui kerjasama strategik bersama pemain industri, bertujuan mendedahkan pelajar sekolah menengah kepada bidang TVET berprofil tinggi.

“Ia termasuk bidang maritim, penerbangan dan telekomunikasi yang akan dilaksana menerusi penggunaan sistem simulator, modul latihan dan peralatan pembelajaran interaktif,” katanya.