SHAH ALAM, 14 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) bakal membangunkan aplikasi digital DANA Plus bagi mempercepatkan proses kelulusan pembiayaan kepada usahawan mikro negeri ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata melalui aplikasi tersebut, tempoh kelulusan permohonan dapat dipendekkan daripada dua minggu kepada hanya 48 jam, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan membantu aliran tunai usahawan.
“Sejak penubuhan, Hijrah Selangor telah menawarkan 92,000 pembiayaan kepada 61,000 usahawan berjumlah RM885 juta. Daripada jumlah itu, 81 peratus ialah golongan berpendapatan rendah yang sukar mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan konvensional.
“Pembangunan aplikasi DANA Plus membolehkan proses menjadi lebih optimum dan memberi akses pembiayaan yang lebih pantas kepada usahawan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.
Bagi pelaksanaan inisiatif tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta, yang dijangka membuka peluang lebih luas kepada pasaran tempatan serta menyokong pertumbuhan ekosistem keusahawanan.
Hijrah Selangor kini menawarkan dua skim pembiayaan utama:
i-Bisnes dengan pembiayaan sehingga RM50,000; dan
NaDI, khusus untuk usahawan wanita dengan jumlah sehingga RM50,000 di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.
Dalam masa sama, Amirudin memaklumkan usahawan yang telah menerima pembiayaan Hijrah Selangor akan turut mendapat bantuan transisi digital, termasuk subsidi pelaksanaan sistem e-invoicing.
“Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi tujuan ini, melibatkan bantuan RM1,000 kepada 1,500 perusahaan mikro dan kecil. Ia selaras keputusan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan sistem e-invoicing,” jelasnya.




