Hijrah Selangor laksana penstrukturan semula pinjaman usahawan mulai Ogos

26 Jun 2026, 12:00 AM
Hijrah Selangor laksana penstrukturan semula pinjaman usahawan mulai Ogos

SHAH ALAM, 26 JUN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) akan melaksanakan penstrukturan semula pinjaman bagi usahawan yang berdepan masalah aliran tunai mulai Ogos ini.

Ketua Pegawai Perniagaan Hijrah Selangor, Nilammasri Jaafar berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu menyasarkan kira-kira 6,000 usahawan sedia ada yang dikenal pasti mempunyai rekod pembayaran tidak konsisten.

Menurutnya, kumpulan berkenaan terdiri daripada usahawan yang masih membuat bayaran pembiayaan tetapi berdepan kekangan aliran tunai sehingga gagal melunaskan ansuran secara tetap setiap bulan.

“Pakej daya tahan itu akan dilaksanakan pada Ogos. Sebelum ini, Hijrah Selangor pernah melaksanakan penstrukturan semula pinjaman, namun kali ini kita mengenal pasti sekitar 6,000 usahawan yang mungkin terkesan dari segi aliran tunai.

“Ada dalam kalangan mereka yang membuat bayaran pada satu bulan tetapi tidak dapat membayar pada bulan berikutnya. Maksudnya, corak pembayaran mereka tidak konsisten.

“Dalam kategori kami, mereka yang mempunyai tunggakan antara satu hingga tiga bulan juga layak dipertimbangkan untuk penstrukturan semula,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata usahawan yang mempunyai tunggakan melebihi tiga bulan turut boleh mendapatkan khidmat nasihat dan dinilai bagi tujuan penstrukturan semula mengikut kesesuaian masing-masing.

Katanya, usahawan yang berminat boleh menghubungi atau hadir ke Jabatan Kawalan Kredit dan Pemulihan Hijrah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam atau mana-mana cawangan Hijrah Selangor di seluruh negeri untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menyediakan pilihan kepada usahawan untuk menstruktur semula pinjaman mereka menerusi Hijrah Selangor sebagai sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.

Beliau berkata inisiatif itu diwujudkan bagi membantu usahawan yang berdepan cabaran ekonomi semasa, termasuk gangguan rantaian bekalan global yang boleh menjejaskan prestasi perniagaan.

Seramai 6,000 usahawan yang mempunyai pembiayaan dengan Hijrah Selangor layak memohon kemudahan tersebut tanpa dikenakan faedah tambahan atau caj penalti, sekali gus membantu memastikan kelangsungan perniagaan mereka terus terpelihara.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.