SHAH ALAM, 12 JULAI: Festival Usahawan Wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga bukan sekadar mengiktiraf pencapaian usahawan wanita, malah menjadi platform menghubungkan mereka dengan pelbagai bentuk sokongan bagi memperkasa dan mengembangkan perniagaan.
Wakil rakyatnya, Danial Al-Rashid Haron berkata ramai usahawan wanita dikenal pasti di kawasan itu dengan sebahagian daripada mereka memerlukan sokongan dalam bentuk pembiayaan, latihan dan bimbingan untuk memajukan perniagaan.
Menurut beliau, pihaknya akan membantu menghubungkan usahawan berkenaan dengan agensi Kerajaan Negeri serta agensi keusahawanan berkaitan.

“Program ini bukan terhenti setakat memberi pengiktirafan sahaja. Kami juga akan menghubungkan mereka dengan agensi Kerajaan Negeri seperti Yayasan Hijrah Selangor dan beberapa agensi keusahawanan lain.
“Jika mereka tidak memerlukan bantuan kewangan, mungkin sokongan dalam bentuk latihan boleh diberikan kerana perniagaan hari ini tidak hanya tertumpu kepada kaedah tradisional, sebaliknya memerlukan teknologi dan media sosial,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival Keusahawanan Wanita dan Keluarga DUN Batu Tiga di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Danial berkata inisiatif itu diharap dapat membantu usahawan meningkatkan kemahiran, memperkukuh daya saing serta menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
Sementara itu, usahawan kreatif Tun 'Alia Nadirah Ahmad Suhaimi, 44, berkata program seumpama itu penting kerana usahawan bukan sahaja memerlukan jualan, malah ruang membina jaringan, kerjasama serta berkongsi pengalaman.

Pengasas By Ibu Ibu itu berkata usahawan yang telah lama bertapak dalam perniagaan juga masih memerlukan bimbingan dan latihan untuk terus mengembangkan perniagaan mereka.
“Apabila jenama sudah dikenali, persoalannya ialah apa langkah seterusnya. Bimbingan dan tunjuk ajar masih diperlukan apabila kita mahu mengembangkan perniagaan.
“Selain bantuan kewangan, usahawan memerlukan sistem sokongan pembangunan, khususnya bagi bidang kreatif yang masih kurang mendapat pendedahan,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak program khusus diwujudkan bagi membantu usahawan wanita mengembangkan perniagaan meskipun berdepan pelbagai komitmen keluarga.
Seorang lagi usahawan, Nor Fazidah Abd Samad, 40, berkata program berkenaan memberi peluang untuk memperluas jaringan dan memperkenalkan perniagaannya kepada lebih ramai pelanggan.

Perunding imej dan jurulatih korporat itu berkata usahawan bukan hanya memerlukan modal, malah akses kepada kelas keusahawanan, sesi jaringan serta peluang bertemu pihak yang boleh membantu mengembangkan perniagaan.
“Saya sangat seronok dan berbangga kerana ini satu peluang besar untuk mengembangkan jaringan, termasuk membolehkan lebih ramai pihak melihat bahawa perniagaan yang saya jalankan masih diteruskan.
“Selain modal, usahawan juga memerlukan kelas, sesi jaringan dan peluang seperti program ini,” katanya.








