SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri sedang meneliti secara terperinci kos serta kaedah penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di luar negara sebagai langkah memperluas jaringan perdagangan serantau.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari, berkata penganjuran SIBS di peringkat antarabangsa adalah sebahagian strategi Selangor untuk meningkatkan nilai dagang antara Malaysia dan rantau Asean.
“Selangor bersedia menjadi pintu gerbang antara Malaysia dan Asean. Ini merupakan salah satu strategi kita kemukakan tetapi sedang memperhalusi daripada segi kos dan bagaimana penganjurannya.
“Sebagai contoh di negeri tertentu di Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina atau mungkin ke Timor Leste merupakan pasaran belum disentuh atau belum diterokai sepenuhnya.
“Strateginya kita bukan hanya mempergiat pertemuan dengan pelabur di negara terbabit tetapi turut melaksanakan SIBS di negara Asean dan membawa produk kita ke sana sebagai misi utama,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali mengenai usaha memperkasa hubungan dagang Asean pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
SIBS menampilkan enam komponen utama iaitu Penganjuran khusus Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B), Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) dan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS).
Tahun lalu, SIBS mencatat RM13.86 bilion nilai potensi urus niaga menerusi dua siri penganjuran.
Namun, edisi tahun ini merekodkan RM8.17 bilion, lebih rendah berbanding sasaran awal RM10 bilion.






