ad

Selangor tubuh jawatankuasa kerja nuklear, teroka tenaga baharu

14 Nov 2025, 9:39 AM
Selangor tubuh jawatankuasa kerja nuklear, teroka tenaga baharu
Selangor tubuh jawatankuasa kerja nuklear, teroka tenaga baharu
Selangor tubuh jawatankuasa kerja nuklear, teroka tenaga baharu
Selangor tubuh jawatankuasa kerja nuklear, teroka tenaga baharu

SHAH ALAM, 14 NOV: Jawatankuasa Kerja Bersama Tenaga Nuklear Selangor akan ditubuh bagi menilai keberkesanan tenaga nuklear dengan mengambil kira perkembangan teknologi dalam sektor itu.

Berikutan itu Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya memperuntuk RM1 juta sebagai insentif tambahan selain menerima tawaran biasiswa daripada syarikat China General Nuclear (CGN) berjumlah RM3.7 juta.

“Tawaran biasiswa ini bakal memberi manfaat kepada 25 pelajar anak Selangor untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) di Universiti Harbin dan Universiti Tsinghua, China, yang merupakan antara universiti terkemuka di rantau Asia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap membentang Belanjawan Selangor 2026, beliau berkata sebagai negeri yang komited dengan agenda kelestarian, Selangor bersemangat meneroka teknologi tenaga baharu dan tenaga bersih.

Jelasnya usaha itu bukan hanya membuka peluang pelaburan baharu malah turut meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan tenaga lestari demi masa depan generasi akan datang.

“Kita juga menyedari hakikat bahawa pusat data memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi bagi tujuan operasi berterusan peralatan IT dan penyejukan sistem.

“Itu sebabnya pentadbiran tidak meluluskan sewenang-wenangnya pembangunan pusat data untuk tujuan eksport tetapi memberikan keutamaan untuk keperluan penggunaan data industri tempatan,” katanya.

Pada September, Selangor memeterai persefahaman bersama CGN bagi memperkukuh ekosistem tenaga hijau selain mengorak langkah negeri sebagai destinasi pelaburan utama dan hab teknologi bersih Asia Tenggara.

Amirudin menjelaskan usaha berkenaan juga menunjukkan komitmen negeri dalam melaksanakan agenda kelestarian yang akan membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu.