ad

Air Selangor, AWS dan IWK bina Loji Rawatan Semula Air Lembah Klang

13 Nov 2025, 10:05 AM
Air Selangor, AWS dan IWK bina Loji Rawatan Semula Air Lembah Klang
Air Selangor, AWS dan IWK bina Loji Rawatan Semula Air Lembah Klang
Air Selangor, AWS dan IWK bina Loji Rawatan Semula Air Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama Amazon Web Services (AWS), Central Water Reclamation Sdn. Bhd. (CWR) dan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) untuk pembangunan Loji Rawatan Semula Air (WRP) di Lembah Klang.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Hotel Grand Hyatt menandakan pembangunan loji rawatan semula air pertama di Lembah Klang untuk memperkukuh agenda ekonomi kitaran air negara.

Melalui MoU pertama, Air Selangor dan AWS akan bekerjasama membangunkan loji rawatan semula air dalam pusat operasi data di Lembah Klang sebagai langkah penting ke arah operasi industri digital yang lestari.

MoU kedua antara Air Selangor dan CWR pula memperincikan perjanjian bekalan air pukal bagi memastikan pengeluaran air terawat semula yang lebih cekap melalui kemudahan loji berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transfomasi Air (PETRA), Dato' Sri Fadillah Yusof (tengah), Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Dato' Johary Anuar (lima, kanan) dan Pengarah Operasi Pusat Data AWS Asia Pasifik, Dr. Saji PK (empat, kiri) bergambar bersama selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Air Selangor, Amazon Data Servis Malaysia, Indah Water Konsortium dan Central Water Reclamation di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 13 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Manakala MoU ketiga antara IWK dan CWR menumpukan kepada bekalan efluen terawat pukal, yang akan diproses semula menjadi air terawat semula untuk kegunaan industri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama ini bukan sekadar pembinaan infrastruktur, tetapi usaha membina ekonomi kitaran yang menjadikan sisa sebagai sumber baharu bernilai.

“Dengan langkah ini, bekalan air bersih akan terus diutamakan buat isi rumah dan keperluan asas.

“Manakala sektor industri dapat beroperasi secara mampan menggunakan air terawat semula,” katanya melalui teks ucapan dibaca Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor Dato’ Johary Anuar.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Merangkap Pengarah UPEN, Dato' Johary Anuar berucap ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Air Selangor, Amazon Data Servis Malaysia, Indah Water Konsortium dan Central Water Reclamation di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 13 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau menegaskan, pembangunan loji rawatan semula air itu adalah usaha berani dan berpandangan jauh yang menilai semula cara negeri mengurus sumber air, sambil merancang pengurusan sumber masa depan bermula dari sekarang.

Sementara itu, dalam ucapannya, Fadillah mengiktiraf kepimpinan Kerajaan Selangor dalam memperjuangkan inovasi praktikal bagi sumber pengurusan sumber air di peringkat negeri.

“Inovasi yang digerakkan melalui Pelan Induk Air Selangor 2025–2050 serta strategi pelbagai sumber air ini memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan pertumbuhan industri,” katanya yang juga Menteri Tenaga Peralihan dan Transformasi Air

Beliau menyifatkan kerjasama antara AWS, Air Selangor, IWK dan Kerajaan Negeri ini sebagai satu inisiatif transformasi yang tepat pada masanya bagi memperkukuh agenda infrastruktur digital mampan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transfomasi Air (PETRA), Dato' Sri Fadillah Yusof berucap ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Air Selangor, Amazon Data Servis Malaysia, Indah Water Konsortium dan Central Water Reclamation di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 13 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR