ad

Generasi muda perlu disemai semangat prihatin, sedia sertai ekonomi penjagaan

13 Nov 2025, 6:21 AM
Generasi muda perlu disemai semangat prihatin, sedia sertai ekonomi penjagaan
Generasi muda perlu disemai semangat prihatin, sedia sertai ekonomi penjagaan
Generasi muda perlu disemai semangat prihatin, sedia sertai ekonomi penjagaan

HULU LANGAT, 13 NOV: Generasi muda perlu didedahkan dengan dunia penjagaan agar mereka bersedia menyumbang kepada pembangunan ekonomi penjagaan yang semakin berkembang di negeri ini, kata EXCO kebajikan.

Anfaal Saari berkata langkah itu bukan saja memperkukuh jaringan sokongan komuniti, tetapi juga melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran dalam sektor penjagaan.

“Bila sebut tentang penjagaan, sebenarnya tidak tertakluk hanya di bawah tanggungjawab kerajaan, kita mahu luaskan tanggungjawab tersebut bukan sahaja kepada keluarga tetapi komuniti.

“Program sukarelawan (di rumah warga emas) umpamanya, adalah satu contoh atau model bagaimana komuniti seperti pihak sekolah boleh datang berinteraksi, menjaga. Selain itu, ada juga penglibatan daripada pihak swasta,” katanya.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari berucap pada majlis kunjungan kasih bersama warga emas Rumah Seri Kenangan Cheras pada 13 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Kunjungan bersama warga emas Rumah Seri Kenangan di sini, hari ini.

Program anjuran Sekolah-Sekolah Seri Cempaka itu disertai kira-kira 20 pelajar dengan lebih 100 kit kebersihan diri diagihkan kepada warga emas.

Anfaal berkata Kerajaan Negeri menerusi Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030 menekankan konsep penuaan bermaruah.

“Sebenarnya warga emas adalah aset kerana mereka ada pengalaman sejarah, kepakaran dan kemahiran. Yang penting bagaimana kita garap dan olah supaya ada perpindahan maklumat dan pengalaman itu kepada generasi muda.

“Sudah tentu generasi muda ini adalah harapan kepada negara jadi kesinambungan itu penting. Sekiranya anak-anak muda hanya bergantung kepada diri mereka sendiri, sudah tentu jati diri negara ini akan terhakis,” katanya.

Sebelum ini, Anfaal berkata pendekatan ekonomi penjagaan yang diterapkan Kerajaan Negeri diyakini mampu memperkukuh pembangunan Selangor melalui peningkatan kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan wanita.

Menurutnya sektor penjagaan membentuk asas kekuatan bakat dan nilai kekeluargaan yang mampu mencorak pertumbuhan inklusif serta membina bandar prihatin.