ad

Penduduk Kampung Papan terjejas disaran mohon bantuan DUN Pandamaran

12 Nov 2025, 1:52 PM
Penduduk Kampung Papan terjejas disaran mohon bantuan DUN Pandamaran

SHAH ALAM, 12 NOV: Wakil rakyat Pandamaran sedia membantu penduduk Kampung Papan, Klang yang terkesan dengan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berkata pihaknya akan memastikan kebajikan penduduk terbela dan tiada keluarga terpinggir daripada menerima bantuan sewajarnya.

“Saya minta jasa baik pihak pemaju supaya menangguhkan perobohan rumah berpenghuni. Bantuan awal juga telah diberikan kepada penduduk terjejas.

"Malah kami sudah berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi mendapatkan penempatan berdekatan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor, hari ini.

Menurut beliau, selepas perintah mahkamah dikeluarkan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, hanya mengarahkan pemaju meroboh rumah kosong.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Tony Leong Tuck Chee. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Namun katanya, pemaju didakwa berhasrat meneruskan tindakan ke atas rumah yang masih didiami.

Tony turut memaklumkan setakat ini peneroka Kampung Papan belum menerima sebarang pampasan, namun mereka telah diberikan tujuh ekar tanah oleh pihak pemaju seperti dimaklumkan dalam surat bertarikh 11 November lalu.

Beliau menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan kebajikan keluarga terjejas terbela, selain menggesa mereka hadir ke Pusat Khidmat DUN Pandamaran bagi mendapatkan maklumat lanjut serta saluran bantuan rasmi.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 20 rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran dirobohkan sejak Isnin lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan pemaju.

Sebahagian penduduk mendakwa operasi tersebut dijalankan tanpa makluman jelas, malah ada yang hanya mengetahui mengenai perobohan itu ketika kerja-kerja sedang dijalankan.