SHAH ALAM, 15 NOV: Penduduk Kampung Papan, Pandamaran yang terjejas akibat perobohan rumah bakal menerima kediaman mampu milik yang akan dibangunkan oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat bersama pihak pemaju pagi semalam selepas mereka bersetuju menyerahkan tanah seluas tujuh ekar bagi tujuan pembangunan semula kawasan tersebut.
“Akhirnya pemaju setuju untuk serahkan tujuh ekar tanah dan kita akan bangunkan untuk peneroka tersebut. Tetapi ambil masa kerana ia melibatkan pembangunan menyeluruh.
“Untuk sementara waktu boleh tinggal di rumah Smart Sewa. Kalau ada masalah kewangan kita boleh bincang,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Amirudin turut melahirkan rasa kesal apabila isu berkenaan berlarutan terlalu lama, sambil menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri bertindak sebagai orang tengah telah berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak.
Beliau menegaskan, penyelesaian secara harmoni masih boleh dicapai sekiranya wakil penduduk tidak membawa kes pemilikan tanah tersebut ke mahkamah.
“Penyelesaiannya telah dicuba banyak kali termasuk dalam penggal lepas, pemaju mahu sediakan tapak tetapi masing-masing tidak mahu mengalah dan mahu teruskan dengan kes mahkamah.
“Akhirnya apa yang terjadi mereka meneruskan kes dan mahkamah buat keputusan tanah itu milik pemaju. Kerajaan Negeri cuba bantu tetapi usaha itu tidak berjaya,” katanya.
Sementara itu, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Datuk Borhan Aman Shah turut memberi jaminan tiada penduduk yang akan dibiarkan tanpa tempat berteduh apabila penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa disediakan dengan kadar sewa berpatutan bagi mereka yang memerlukan.
Menurut beliau, komitmen itu seiring usaha kerajaan negeri mencari penyelesaian menyeluruh, adil dan berperikemanusiaan terhadap kemelut peneroka bandar yang telah berlarutan lebih 25 tahun.
"Tiada peneroka akan dibiarkan tanpa penempatan sementara. Skim Smart Sewa disediakan dengan kadar sewa berpatutan kepada peneroka yang memerlukan, sementara projek penempatan dimuktamadkan," katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau menjelaskan, kerja-kerja perobohan hanya dibenarkan ke atas struktur kosong tanpa penghuni, sejajar dengan pendekatan penyelesaian berhemah Kerajaan Negeri.
"Kita yakin penyelesaian komprehensif bagi peneroka Jalan Papan kini berada pada landasan jelas.
"Komitmen Kerajaan Negeri adalah memastikan penyelesaian adil, terancang dan berperikemanusiaan sambil memastikan pembangunan kawasan itu seiring dasar perumahan dan perancangan negeri," katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 20 rumah di Kampung Papan dirobohkan sejak Isnin lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan pemaju.
Bagaimanapun, kerja pengosongan itu menjadi tegang apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk membantah serta menghalang operasi perobohan di kawasan terbabit.





