ad

Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pentas pamer inovasi, buka peluang tenaga mahir

12 Nov 2025, 2:00 AM
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pentas pamer inovasi, buka peluang tenaga mahir
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pentas pamer inovasi, buka peluang tenaga mahir
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pentas pamer inovasi, buka peluang tenaga mahir

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 menjadi pentas utama bagi syarikat tempatan mempamerkan inovasi teknologi terkini dan membuka lebih banyak peluang pembangunan tenaga kerja mahir di Selangor.

Pengurus Teknikal Kanan Feiran Technology Sdn Bhd, Nik Mahmood Farid Nik Yusof berkata penyertaan syarikatnya bertujuan memperkenalkan teknologi baharu dalam reka bentuk dan simulasi pembuatan yang dapat menjimatkan kos serta masa pembangunan produk.

“Kami fokus kepada penggunaan sistem Dassault untuk reka bentuk dan simulasi dalam sektor aeroangkasa.

"Teknologi ini membolehkan ujian dijalankan secara maya tanpa perlu menghasilkan model fizikal, sekali gus mengurangkan kos dan masa pembangunan,” katanya kepada Media Selangor.

Pengurus Teknikal Kanan Feiran Technology Sdn Bhd, Nik Mahmood Farid Nik Yusof. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau menegaskan penganjuran sidang kemuncak oleh Kerajaan Negeri memberi impak besar kepada pembangunan teknologi tempatan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kita juga mahu berkongsi kepakaran dalam pembangunan reka bentuk berasaskan AI dan inisiatif ini wajar diteruskan setiap tahun bagi menggalakkan lebih banyak kolaborasi industri,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RA Integration Links Sdn Bhd (Rail SB), Asdahrizam Alias berkata penyertaan syarikatnya membuka peluang memperkenalkan peranan Rail SB dalam industri rel tempatan, yang selama ini banyak beroperasi di belakang tabir.

“Kami terlibat dalam kerja penyelenggaraan dan baik pulih tren Ampang Line bersama Prasarana. Setakat ini, 20 set tren telah siap diperbaharui dan 30 set lagi dalam proses.

"Ramai tenaga kerja tempatan mendapat manfaat melalui latihan dan pendedahan kemahiran tinggi dalam industri ini,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif RA Integration Links Sdn Bhd (Rail SB), Asdahrizam Alias. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau menambah, syarikatnya turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bagi membekalkan pelajar berkemahiran dalam sektor rel, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri memperkasa pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET).

“Malaysia kekurangan kira-kira 30,000 tenaga kerja dalam industri rel. Jadi dengan kerjasama STDC, kita boleh mencorakkan hala tuju industri ini serta memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk menyertai bidang ini,” katanya.

Selangor mencipta sejarah sebagai Kerajaan Negeri pertama di Malaysia menganjurkan acara teknologi bertaraf antarabangsa, Sidang Kemuncak Selangor Techsphere, dengan sokongan rasmi pameran perdagangan dunia terkenal Hannover Messe.

Acara yang berlangsung pada 11 dan 12 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama teknologi dan bakat di Asia Tenggara.