SHAH ALAM, 10 NOV: Selangor mencipta sejarah apabila menjadi Kerajaan Negeri pertama di Malaysia menganjurkan acara teknologi bertaraf antarabangsa, Selangor Techsphere Summit, dengan sokongan rasmi pameran perdagangan dunia terkenal Hannover Messe.
Acara yang berlangsung pada 11 dan 12 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama teknologi dan bakat di Asia Tenggara.
Idea penganjuran tercetus selepas lawatan Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ke Hannover Messe di Jerman pada April tahun lalu yang membuka peluang kepada kerjasama antara kerajaan Selangor dan pemain industri global.
Semasa lawatannya, Amirudin memberi tumpuan kepada memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang teknologi dan pendidikan vokasional, termasuk perbincangan strategik bagi mempromosikan Selangor sebagai hab pelaburan teknologi.
Lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan beberapa syarikat teknologi terkemuka Jerman seperti Mendix dan KNX, bagi membangunkan modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program pensijilan profesional yang dapat memperkukuh latihan dan inovasi di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC), Dr Harizal Hamid berkata acara itu menjadi platform penting untuk mempersiapkan tenaga kerja menghadapi perubahan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan robotik.
“Teknologi baharu datang lebih pantas daripada kemampuan tenaga kerja menyesuaikan diri. Melalui Techsphere, kita mahu memperkukuh bakat tempatan agar Selangor mampu melahirkan pakar teknologi sendiri,” katanya.
Menurutnya, acara tersebut hasil kerjasama antara Malaysia, Jerman dan wakil serantau Asia Pasifik kini direalisasikan dan menjadi satu pencapaian penting.

“Ketika lawatan Menteri Besar ke Hannover, beliau membayangkan untuk membawa semangat inovasi dan pertukaran ilmu yang sama ke Selangor.
"Namun, Techsphere bukanlah pameran perdagangan, sebaliknya platform yang menonjolkan kemajuan teknologi, pembangunan modal insan serta kerjasama berpaksikan dasar,” katanya.
Berbeza dengan acara serantau lain yang lebih menumpukan kepada perdagangan antara perniagaan (B2B), Harizal berkata pendekatan acara anjuran Kerajaan Negeri ini lebih berteraskan kepentingan awam.
“Di Selangor, fokus kami berbeza. Kami menzahirkan aspirasi dan dasar Kerajaan Negeri dalam transformasi teknologi serta pembangunan bakat tempatan,” katanya.
Acara itu dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu persidangan antarabangsa melibatkan penceramah Hannover Messe dan pakar industri 4.0 Eropah, serta pameran umum yang membolehkan masyarakat mendekati teknologi secara interaktif.
Persidangan tersebut menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada pemimpin industri dan korporat melalui sesi ucaptama, bengkel teknikal dan forum padanan perniagaan (B2B).
Penganjurannya juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Selangor (SIMP) yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem digital dan pembuatan pintar bagi mendorong pertumbuhan sektor AI, semikonduktor dan elektronik termaju.
Harizal menegaskan, Techsphere akan menjadi acara tahunan tetap sebagai pusat pertemuan kerajaan, industri dan akademia bagi meletakkan Selangor di barisan hadapan inovasi teknologi serantau.





