ad

Hannover Messe iktiraf Selangor peneraju baharu inovasi, teknologi

12 Nov 2025, 12:00 AM
Hannover Messe iktiraf Selangor peneraju baharu inovasi, teknologi
Hannover Messe iktiraf Selangor peneraju baharu inovasi, teknologi

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kebangkitan dan kemajuan Selangor sebagai hab teknologi mencerminkan aspirasinya menerajui landskap inovasi negara, kata Hannover Fairs Australia dan Asia Pasifik.

Pengarah urusannya berkata pengaruh Selangor yang semakin meningkat selain dasar progresif yang diamalkan menunjukkan kekuatan strategiknya dalam bidang teknologi dan industri bernilai tinggi.

Usaha tersebut, menurut Tim Bostridge, turut membawa kepada kerjasama antara Kerajaan Selangor dan Hannover Messe dalam penganjuran Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025.

“Selangor muncul sebagai peneraju nasional dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, dan ekosistem digital.

Seorang pengunjung mencuba simulator realiti maya semasa Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Ia membuktikan cita-cita besar negeri ini apabila Hannover Messe menjadi pendorong utama sidang kemuncak yang diadakan di Selangor.

“Kelebihan utama Selangor terletak pada asas industri yang pelbagai, lokasi strategik, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta dasar progresif kerajaan negeri yang aktif menyokong inovasi,” katanya berucap semasa perasmian persidangan itu, semalam.

Program teknologi julung kali anjuran negeri dengan sokongan Hannover Messe, pameran perdagangan teknologi industri terbesar dunia yang diadakan setiap tahun di Hannover, Jerman.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Saipolyazan M Yusop, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) Harizal Hamid.

Bostridge berkata Malaysia berkembang pesat sebagai hab pembuatan menerusi teknologi terkini, amalan lestari dan infrastruktur digital kukuh, selain transformasi industri berasaskan AI.

Tambahnya, aspirasi perindustrian negara termasuk pembuatan mampan dan berdaya tahan, penyelesaian tenaga pintar serta inovasi berskala besar juga selaras tema utama Hannover Messe.

Pengunjung meneliti pelbagai jentera yang dipamerkan semasa Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurutnya, Selangor berada pada kedudukan istimewa kerana mempunyai akar industri pembuatan yang kukuh dan menempatkan ekosistem industri terpenting negara.

“Dua hari penganjuran ini direka untuk menghidupkan semua tema tersebut di Selangor. Di sinilah inovasi industri Malaysia bertemu dasar nasional dan hasil perniagaan, menunjukkan bagaimana inovasi terselaras dapat dilaksanakan.

“Kami berharap acara ini menjadi permulaan kepada platform penganjuran yang kukuh dan berimpak besar bagi Selangor dan Hannover Messe,” katanya.

Bostridge turut menegaskan perubahan tidak dapat dielakkan, sambil menyatakan negara di rantau ini kini mempercepat penerimaan teknologi utama seperti robotik, AI dan tenaga boleh diperbaharui bagi membentuk masa depan industri.

Sepanjang dua hari sidang kemuncak tersebut, perbincangan menumpukan tema Transformasi Industri Asean dan bagaimana Industry X membolehkan operasi industri menjadi lebih cekap dan mampan.

Topik lain yang dibincangkan termasuk ekosistem digital, kelestarian dan pengeluaran karbon sifar, teknologi baharu dalam pembuatan, serta pembangunan bakat dan kerjasama sektor penyelidikan.

Idea untuk menganjurkan sidang kemuncak itu tercetus sewaktu lawatan Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ke Jerman April tahun lalu, yang mencetuskan pembangunan versi tempatan seiring matlamat jangka panjang Selangor dalam pembangunan industri dan modal insan.