ad

Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pacu inovasi, ekonomi digital negeri

11 Nov 2025, 3:17 AM
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pacu inovasi, ekonomi digital negeri
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pacu inovasi, ekonomi digital negeri
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pacu inovasi, ekonomi digital negeri
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pacu inovasi, ekonomi digital negeri
Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 pacu inovasi, ekonomi digital negeri

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Pengajuran Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 mengukuhkan agenda ekonomi digital negeri selaras aspirasi Malaysia menjadi peneraju serantau dalam inovasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem industri pintar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata sidang kemuncak itu mencerminkan kepimpinan Selangor dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 serta memacu agenda perindustrian dan inovasi negara.

“Visi negeri ialah menjadikan Selangor negeri perindustrian paling maju dan berdaya saing di negara ini, bersedia untuk mengukir nama di pentas global.

“Melalui perkongsian ilmu dan penglibatan bersama peneraju industri dunia, Selangor berhasrat menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dalam bidang pembuatan termaju, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta teknologi baharu yang sedang muncul.

“Justeru, sidang kemuncak ini bukan sekadar acara. Ia manifestasi keyakinan terhadap visi, keupayaan dan kepimpinan Selangor yang menghubungkan idea kepada tindakan, industri kepada inovasi, dan bakat kepada peluang,” katanya.

Berucap pada majlis perasmian, Amirudin memaklumkan kerjasama strategik dengan Hannover Messe memperkukuh reputasi global Selangor serta membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perkongsian teknologi antarabangsa.

“Kerjasama ini melambangkan reputasi global Selangor yang semakin meningkat serta keterbukaannya terhadap pelaburan dan perkongsian antarabangsa. Melalui hubungan ini, Selangor dapat memperkukuh rangkaian global sambil menonjolkan inovasi Malaysia di pentas dunia,” ujarnya.

Selangor mencipta sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama di Malaysia menganjurkan acara teknologi bertaraf antarabangsa, Sidang Kemuncak Selangor Techsphere, dengan sokongan rasmi pameran perdagangan dunia terkenal, Hannover Messe.

Acara yang berlangsung pada 11 dan 12 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama teknologi dan bakat di Asia Tenggara.

Idea penganjuran tercetus selepas lawatan Amirudin ke Hannover Messe di Jerman pada April tahun lalu, yang membuka peluang kerjasama antara kerajaan Selangor dan pemain industri global.

Semasa lawatan itu, beliau menumpukan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang teknologi dan pendidikan vokasional, termasuk perbincangan strategik bagi mempromosikan Selangor sebagai hab pelaburan teknologi.

Lawatan tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan beberapa syarikat teknologi terkemuka Jerman, seperti Mendix dan KNX, bagi membangunkan modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program pensijilan profesional, yang dapat memperkukuh latihan dan inovasi di negeri ini.