HULU LANGAT, 11 NOV: Penyediaan asrama pekerja bukan sekadar memenuhi keperluan asas tempat tinggal, malah mencerminkan komitmen sosial majikan dalam menjaga kebajikan tenaga kerja.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha menyediakan kemudahan berkualiti itu seiring dasar Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan sosial dan kelestarian bandar.
“Penyediaan asrama pekerja ini menunjukkan majikan bukan sahaja memikirkan soal produktiviti tetapi juga kesejahteraan tenaga kerja mereka.
"Inisiatif seperti ini amat penting bagi membentuk komuniti pekerja yang sihat, selamat dan berdaya maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Asrama Pekerja Asing (PAPA) di kawasan perindustrian Kampung Baru Balakong, hari ini.
Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif syarikat yang mengutamakan keselesaan dan kebajikan pekerja kerana ia membantu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih produktif.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib berkata penyediaan tempat tinggal yang teratur merupakan komponen penting bagi memastikan pekerja menikmati kualiti hidup yang baik serta meningkatkan produktiviti.
Beliau menambah langkah itu turut memudahkan MPKj mengawal pembangunan bandar secara lebih tersusun melalui pelaksanaan PAPA yang memenuhi piawaian ditetapkan.





