ad

Karnival Blueprint & i-SEED #KitaSelangor 2025 warnai Dataran Pantai Morib 22 November ini

11 Nov 2025, 9:40 AM
Karnival Blueprint & i-SEED #KitaSelangor 2025 warnai Dataran Pantai Morib 22 November ini

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan komitmen memperkasa ekonomi rakyat menerusi penganjuran Karnival Blueprint & i-SEED #KitaSelangor 2025 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 22 November ini.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat serta Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) itu menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda pemberdayaan ekonomi dan pengupayaan usahawan kecil, khususnya golongan B40.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman berkata karnival tersebut akan menampilkan lebih 40 penerima manfaat Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) yang bakal mempamer serta menjual produk masing-masing.

“Karnival ini dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dan menyasarkan penyertaan kira-kira 300 peserta.

"Ia bukan sekadar ruang niaga, tetapi medan memperluas jaringan perniagaan serta memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain pameran usahawan, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan sukan dan memasak, kawasan permainan kanak-kanak, pameran agensi kerajaan serta kaunter pengurangan saman trafik.

Agensi pembiayaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan Koperasi Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) akan menganjurkan kursus keusahawanan.

SME Corp, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) pula akan menyediakan peluang latihan dan sokongan tambahan.

Turut serta Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang memperkenalkan inisiatif pendigitalan kepada usahawan kecil.

Acara kemuncak karnival ialah Anugerah Penerima Blueprint & i-SEED #KitaSelangor 2025 yang mengiktiraf kejayaan usahawan berdasarkan inovasi produk, pertumbuhan jualan dan impak komuniti.

Selain pelbagai aktiviti informatif, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis popular seperti Ukays dan Keena Mentor.

Papparaidu berkata, pelaksanaan karnival ini dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan sosioekonomi negeri serta membuka peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk berkembang.

“Melalui penganjuran seperti ini, kita bukan sahaja memperkasa ekonomi rakyat, tetapi juga memupuk semangat keusahawanan dan kebersamaan yang menjadi teras kepada agenda #KitaSelangor,” katanya.