SHAH ALAM, 11 NOV: Gara-gara hutang tatu berjumlah RM120, empat lelaki ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan menggunakan pelbagai senjata termasuk senapang ikan dan busur di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Setia Alam, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Pemangku Senior Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam dan dipercayai berpunca daripada kegagalan salah seorang suspek melunaskan bayaran tatu kepada rakannya.
“Video pergaduhan itu tular di media sosial sehingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan.
“Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 28 tahun ditahan kira-kira 15 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hasil tangkapan membawa kepada rampasan beberapa senjata dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Hasil tangkapan itu turut merampas beberapa senjata dan kenderaan yang digunakan dalam pergaduhan.
“Ini merangkumi selaras senapang ikan berserta busur, satu batang kuku kambing dan sebatang ekzos motosikal serta sebuah kereta jenis Perodua Axia,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan menggunakan senjata dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, kerana memiliki senjata yang disenaraikan dalam jadual kedua sebagai senjata berbahaya.
Mohd Iqbal turut menyeru orang ramai agar tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Vemal di talian 011-39216101,” katanya.




