ad

Rebut teman wanita punca empat lelaki bergaduh

24 Okt 2025, 2:03 PM
Rebut teman wanita punca empat lelaki bergaduh

SHAH ALAM, 24 OKT: Polis menahan tiga lelaki susulan kejadian pergaduhan yang tular di tepi Jalan Setia Y U13/Y, Bandar Setia Alam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian yang melibatkan empat lelaki tempatan itu berlaku sekitar jam 3.51 petang dan dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian.

“Bertindak di atas maklumat, kira-kira jam 10 malam hari yang sama, Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menahan dua lelaki berusia 69 dan 44 tahun di pekarangan IPD Shah Alam.

Polis kemudian merampas sebatang kayu berukuran kira-kira 36 inci di tepi jalan lokasi kejadian dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. Foto BERNAMA

Tambahnya, seorang lagi suspek lelaki berusia 22 tahun ditahan di Taman Kapar, Klang manakala seorang lagi masih diburu bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati insiden berkenaan berpunca daripada perebutan teman wanita.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Hanafi Abdul Ghani di talian 010-3728932.