ad
AGENDA

Pengasas program motivasi rumah tangga, pasangan ditahan

15 Jul 2025, 8:59 AM
Pengasas program motivasi rumah tangga, pasangan ditahan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pengasas program motivasi rumah tangga, eHati yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata pihaknya turut menahan pasangan wanita terbabit.

“Ada beberapa tindakan serbuan dan tangkapan sedang dilakukan. Maklumat lanjut menyusul selepas tindakan diambil,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya akan memanggil semua peserta program eHati untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Katanya tindakan terbabit dijalankan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah selain siasatan turut mengenal pasti kewujudan elemen lucah atau ajaran yang menyimpang daripada norma masyarakat seperti didakwa.

Sabtu lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggesa pihak atau individu yang mempunyai maklumat berhubung penganjuran program eHati pada September lalu tampil menghubungi pihaknya bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya juga akan memanggil beberapa individu hari ini selain bekerjasama dengan polis.

Terdahulu, tular di media sosial program motivasi yang diadakan khas untuk peserta wanita di IDCC, di sini yang didakwa melibatkan perlakuan tidak senonoh, dipercayai berlaku pada September tahun lalu.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil dalam kenyataannya memohon pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap program berkenaan yang didakwa mengandungi unsur penyelewengan agama dan moral.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.