ad

Penduduk tangkap warga asing cuba pecah masuk rumah di Jalan Kebun

14 Okt 2025, 5:51 AM
Penduduk tangkap warga asing cuba pecah masuk rumah di Jalan Kebun

SHAH ALAM, 13 OKT: Cubaan seorang lelaki warga asing memecah masuk sebuah rumah di Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini pagi tadi, gagal selepas disedari penghuni dan dibantu penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 pagi sebelum anggota peronda dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, anggota MPV mendapati penduduk sudah menangkap seorang lelaki disyaki cuba memecah masuk rumah berkenaan. Suspek berusia 38 tahun dan merupakan warganegara Indonesia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Siasatan awal mendapati suspek cuba menceroboh rumah tersebut dengan memanjat bumbung, namun tindakannya disedari tuan rumah selepas mendengar bunyi di atas bumbung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penghuni terbabit kemudian meminta bantuan penduduk berhampiran sebelum berjaya menahan suspek yang cuba melarikan diri.

Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda, jika sabit kesalahan.

“Saspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Aznor Zainal di talian 017-398 9155.