SHAH ALAM, 11 NOV: Dalam usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), syarikat penyelenggaraan penyaman udara, Sahabat Aircond menubuhkan Pusat Latihan Industri Sahabat Aircond (PLISA) di Taman Selayang Baru.
Pengarah Urusan Sahabat Aircond, Muhd Nusser Said berkata idea penubuhan PLISA tercetus selepas beliau menyertai kelas usahawanan kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Idea ini tercetus selepas saya masuk ke kelas PKNS Grow Plus. Di situ kita belajar cara kembangkan perniagaan dan bagaimana untuk kita kembalikan semula kepada komuniti.
“PLISA ini kita bina dalam kawasan Selayang untuk anak muda tempatan sertai kita dan seterusnya mereka akan keluar dan bina kerjaya sendiri,” katanya.
Terdahulu, Muhd Nusser menerima kunjungan EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari di pejabat operasi Sahabat Aircond di Taman Selayang Baru, semalam.
Lawatan kerja tersebut bertujuan mengukuhkan pembangunan ekonomi komuniti selaras agenda kesejahteraan Selangor, di samping menjadikan Selayang sebagai model komuniti ‘Belia Berkemahiran dan Berdaya Saing’.
Dalam pada itu, Muhd Nusser berkata, pihaknya merancang menarik lebih ramai belia, termasuk mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig untuk menyambung pengajian di PLISA bagi memajukan diri.
Beliau menjelaskan pelajar PLISA berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di institusi pengajian tinggi terpilih.
“Jadi kalau ada yang mahu bina perniagaan sendiri, dia boleh buat sendiri. Kalau ada yang hendak bekerja dengan kita pun boleh, sekali gus boleh bantu kembangkan perkhidmatan kami di Lembah Klang,” katanya.
Sahabat Aircond yang beroperasi sejak 2018 menyediakan pelbagai perkhidmatan penyelenggaraan penyaman udara dan didaftarkan di bawah syarikat Platinum Jaya Solutions.




