ad

Kastam gagalkan cubaan seludup bunga ganja bernilai RM6.2 juta

11 Nov 2025, 1:47 AM
Kastam gagalkan cubaan seludup bunga ganja bernilai RM6.2 juta

SHAH ALAM, 11 NOV: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat 67.48 kilogram bernilai lebih RM6.2 juta di kawasan Tambak Persisiran Pantai Bukit Putih, Kuala Perlis, Perlis, bulan lalu.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata hasil maklumat risikan, sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi bersama pasukan elitPasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menjalankan operasi pada jam 10 malam.

“Hasil serbuan menemukan sebuah sampan kayu yang ditinggalkan bersama empat beg guni bertulisan Thailand. Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemui sejumlah besar bahan disyaki dadah jenis bunga ganja.

“Keseluruhan rampasan membabitkan 67.48 kilogram bunga ganja dengan nilai anggaran RM6,209,816,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan sampan sebelum ditinggalkan di kawasan pantai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952..

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut memberi ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.