SEPANG, 13 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan empat kes penyeludupan membabitkan 1.53 juta batang rokok putih dan 60.47 kilogram (kg) bunga ganja dengan nilai keseluruhan rampasan, termasuk duti dan cukai melebihi RM6.17 juta pada Julai lepas.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) Aspalila Ag Tuah berkata dua daripada kes itu membabitkan penyeludupan rokok di Zon Perdagangan Bebas KLIA, manakala dua lagi melibatkan bunga ganja, termasuk 47.8 kg dadah bernilai RM3.824 juta yang ditemukan dalam dua bagasi ditinggalkan di pejabat 'Lost and Found', Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 KLIA.
Beliau berkata dua bagasi berkenaan pada asalnya dijadualkan dibawa menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 14 Julai, namun ditinggalkan penumpang.
Hasil imbasan mengesan imej mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik kedap udara dipercayai mengandungi bunga ganja.
"Syarikat penerbangan telah dipanggil bagi membantu mengesan pemilik bagasi berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Aspalila berkata dalam satu lagi kes dadah pada 13 Julai, JKDM merampas 12.675 kg bunga ganja bernilai RM1.014 juta yang disembunyikan di dalam kotak permainan kanak-kanak.
Beliau berkata dadah berkenaan ditemukan dalam empat bungkusan di cawangan pusat mel dan kurier JKDM KLIA, dan dipercayai hendak dieksport ke sebuah negara di Eropah menggunakan perkhidmatan kargo.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan bunga ganja dalam plastik kedap udara sebelum memasukkannya ke dalam kotak permainan kanak-kanak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes dadah itu masih dalam siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Aspalila berkata JKDM KLIA turut menggagalkan dua cubaan penyeludupan rokok putih berjumlah 1.53 juta batang pada 29 dan 30 Julai lepas dengan nilai rokok serta duti dan cukai keseluruhan kira-kira RM1.35 juta.
Dalam kes pertama, beliau berkata pemeriksaan sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 29 Julai menemukan 410,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam yang dibawa masuk menerusi satu bil muatan udara dari sebuah negara Asia Barat.
Beliau berkata rokok bernilai kira-kira RM102,000 itu membabitkan duti dan cukai RM290,152.
"Bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak keperluan permit import, dagangan berkenaan diisytiharkan sebagai barangan pakaian," katanya.
Sehari kemudian, Aspalila berkata JKDM menemukan 1.12 juta batang rokok putih bernilai RM168,000 dengan duti dan cukai RM786,400 dalam sebuah gudang di zon sama.
Beliau berkata rokok berkenaan tiba dari sebuah negara Asia untuk tujuan transit dan dipercayai akan dihantar ke sebuah negara di Oceania.
"Kali ini, dagangan berkenaan diisytiharkan sebagai "slippers" bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata syarikat pengendali penghantaran barangan bagi kedua-dua kes telah dipanggil untuk membantu siasatan.







