SHAH ALAM, 4 SEPT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 722 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM42.82 juta menerusi empat operasi di Selangor, sekali gus membongkar penggunaan Malaysia sebagai lokasi transit sindiket antarabangsa.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Amran Ahmad berkata rampasan membabitkan ketamin, bunga kanabis, MDMA dan methamphetamine dalam operasi sepanjang Julai lalu.
Rampasan terbesar ialah 505.6 kilogram ketamin bernilai RM25.28 juta yang ditemukan di sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam pada 21 Julai.
Serbuan dilakukan susulan maklumat Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, lapor Berita Harian.
“Pemeriksaan di gudang itu menemukan 119 bungkusan plastik berwarna perak mengandungi ketulan dan serbuk putih dipercayai ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik Kastam.
Dadah itu dipercayai disembunyikan dalam kotak komersial bersama bungkusan serbuk koko, manakala seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan dan sudah didakwa di mahkamah.
Amran berkata siasatan mendapati sebahagian dadah berasal dari Sepanyol dan Belanda sebelum transit di Malaysia untuk dihantar ke pasaran lain.
“Mereka menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit atau pasaran dadah. Kita memandang serius perkara ini dan akan menyiasat serta melumpuhkan kegiatan ini berdasarkan maklumat diterima,” katanya.
Dalam operasi berasingan pada 8 Julai, Kastam menyerbu sebuah rumah di Bandar Botanic, Klang dan merampas 160.6 kilogram bunga kanabis bernilai RM12.84 juta.
Lima suspek ditahan dalam serbuan berkenaan dan seorang daripadanya sudah didakwa atas pertuduhan mengedar dadah.
Sehari sebelumnya, sebuah gudang di Meru, Klang diserbu dengan 51.4 kilogram bunga kanabis bernilai RM4.11 juta ditemukan disembunyikan bersama pes cili, lampin dan makanan kering.
Satu lagi kes pada 9 Julai membabitkan bungkusan di Hab Antarabangsa Pos Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang membawa kepada rampasan 3.3 kilogram MDMA dan dua kilogram methamphetamine bernilai RM587,500.
Dadah dipercayai dihantar dari Eropah dan disembunyikan dalam ruang khas beg folder yang diisytiharkan sebagai beg tangan kulit.
Dua rakyat Malaysia ditahan di Ukay, Ampang, sebelum empat warga asing turut ditahan di sebuah rumah yang dikaitkan dengan alamat pada nota konsainan.
Amran berkata JKDM bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia serta agensi penguat kuasa asing bagi berkongsi risikan dan mengekang Malaysia daripada dijadikan laluan penyeludupan dadah antarabangsa.
Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.









