Kastam sita barangan elektrik seludup bernilai RM1.33 juta

22 Okt 2026, 9:22 AM
Kastam sita barangan elektrik seludup bernilai RM1.33 juta

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menyita 9,286 unit barangan elektrik dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM1.33 juta termasuk duti dan cukai menerusi serbuan di sebuah gudang persendirian di Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Selangor.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata serbuan pada 13 Okt itu menemukan barangan elektrik pelbagai jenis dan fungsi dipercayai tiada Perakuan Kelulusan (CoA) daripada Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM Berhad (SIRIM).

“Semasa serbuan dilaksanakan, dokumen kelulusan yang sah bagi barangan berkenaan juga gagal dikemukakan. Seorang lelaki berumur lingkungan 60-an dipercayai pengurus gudang turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Norizan berkata nilai barangan yang disita dianggarkan berjumlah RM1.01 juta, manakala duti import dan cukai adalah sebanyak RM323,904.

Beliau berkata modus operandi kes itu dipercayai melibatkan penyeludupan barangan elektrik import tanpa kelulusan sebelum dijual kepada pengedar barangan elektrik dengan menggunakan invois pembelian tempatan bagi mengelakkan kegiatan dikesan pihak berkuasa.

Wan Norizan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

“JKDM menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke pejabat JKDM terdekat,” katanya.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.