Taktik isytihar produk tembakau sebagai makanan gagal, rampasan hampir RM4 juta

26 Nov 2026, 7:22 AM
Taktik isytihar produk tembakau sebagai makanan gagal, rampasan hampir RM4 juta

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur membongkar taktik mengisytiharkan produk tembakau sebagai barangan makanan dalam dokumen pengimportan bagi mengelakkan pembayaran duti dan cukai menerusi rampasan 5,925 kilogram produk tembakau di Pelabuhan Klang pada 23 Oktober.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata rampasan itu melibatkan tembakau kunyah dan cerut yang disyaki tidak berkastam, dipercayai diimport menggunakan kontena dari sebuah negara di Asia Tenggara.

Beliau berkata kontena itu ditahan pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan hasil maklumat awam.

“Produk berkenaan dianggarkan bernilai RM358,200 manakala duti dan cukai terlibat berjumlah RM3,597,325 menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM3,955,525.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat pengikraran palsu dalam Borang Kastam No. 1, iaitu mengisytiharkan produk tembakau sebagai barangan makanan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Norizan berkata tindakan itu dipercayai bertujuan mengelakkan pembayaran duti import dan cukai serta keperluan mendapatkan permit import (AP).

Beliau berkata produk berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan, khususnya pekerja asing.

“Pengimportan produk ini tertakluk kepada keperluan permit import di bawah Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Beliau berkata seorang wakil syarikat pengimport telah dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.