SHAH ALAM, 10 NOV: Buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) muncul sebagai judul pilihan nombor satu di rangkaian MPH Bookstores bagi kategori rujukan Islam pada 24 hingga 30 Oktober lalu.
Karya agung tulisan sarjana Islam terkenal, Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin itu diterjemah dengan penuh teliti ke dalam Bahasa Melayu dan mengandungi 85 bab yang mengisahkan perjalanan hidup Rasulullah SAW secara menyeluruh dari kelahiran, perjuangan dakwah hingga ke detik kewafatan Baginda.
Menurut IBDE, sambutan hangat terhadap buku berkenaan membuktikan masyarakat terus menaruh minat mendalam terhadap karya bercorak sejarah dan keagamaan yang autentik serta bernilai tinggi.
“Terima kasih kepada semua pembaca atas sokongan berterusan terhadap usaha kami memperkasa dunia penerbitan ilmu dan budaya membaca di Selangor,” katanya di Facebook.

Agensi yang menerima sokongan Kerajaan Negeri itu turut giat menerbitkan pelbagai karya terjemahan merangkumi bidang sejarah, falsafah dan agama, termasuk naskhah klasik berusia ribuan tahun yang kini mendapat tempat di kalangan pembaca muda.
Sebahagian karya IBDE diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor dan boleh didapati di Kedai Buku Rencana, Sri Damansara serta dalam talian menerusi bukuibde.com
Dalam pada itu, naskhah Muhammad yang diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) turut menduduki tangga teratas sebagai buku IBDE paling laris sepanjang Oktober lalu.







