SHAH ALAM, 16 JAN: Dua naskhah rujukan Islam terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mendominasi carta 10 buku paling laris setakat 11 Januari lalu, sekali gus mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap bahan bacaan berteraskan ilmu, sejarah dan kerohanian.
Naskhah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings terbitan IBDE dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor terus menduduki tangga teratas sebagai buku paling laris.
Menurut IBDE, karya biografi agung yang mengupas perjalanan hidup Rasulullah SAW itu terus mendapat sambutan luar biasa daripada pembaca pelbagai lapisan.
Turut berada di kedudukan kedua ialah karya agung Imam al-Ghazali, Ramuan Kebahagiaan terjemahan IBDE dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd.
Karya agung Hujjatul Islam itu menyentuh soal ibadah, kehidupan sosial, cara mengelak melakukan dosa dan petua menuju kebahagiaan.
Selain dua judul tersebut, lapan lagi naskhah yang tersenarai sebagai buku terlaris ialah:
Perdukunan Melayu
Memelihara Jiwa
Muslihat Mahathir
Gelagat dan Ragam Orang Melayu
Suri Hati Nabi
Memahami Ekonomi
Imam Al-Ghazali
Gelut Hanoi
“Permulaan 2026 yang mantap. Terima kasih kepada pembaca yang terus menyokong penerbitan IBDE. Mari bersama IBDE dalam misi mengenal dunia melalui buku-buku terjemahan.
"Ajak rakan dan kenalan membaca dunia dalam bahasa kita. IBDE, menterjemah dunia,” menurut IBDE menerusi hantaran di Facebook.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Selangor aktif menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre termasuk sejarah, falsafah dan agama, merangkumi karya klasik yang berusia ratusan hingga ribuan tahun.
Buku terbitan IBDE, termasuk yang dihasilkan dengan kerjasama Media Selangor, boleh diperoleh di Kedai Buku Rencana, Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara dalam talian menerusi laman web rasmi bukuibde.com.



