SHAH ALAM, 3 NOV: Naskhah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kembali menduduki tangga teratas sebagai buku paling laris sepanjang Oktober.
Menurut IBDE, karya biografi agung tentang perjalanan hidup Rasulullah SAW itu terus mendapat sambutan luar biasa, menandakan minat tinggi masyarakat terhadap bahan bacaan berteraskan sejarah dan kerohanian.
Selain itu, karya Risalah Tentang Kelazatan Yang Tercela tulisan ulama tersohor Fakhruddīn al-Rāzī turut mencatat permintaan tinggi sehingga kehabisan stok, menjadikannya buku kedua paling laris bulan berkenaan.
IBDE turut menyenaraikan lapan lagi judul yang laris, iaitu:
Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad
Tata Dunia
Memelihara Jiwa
Salahuddin Al-Ayubi
Gelagat dan Ragam Orang Melayu
Muslihat Mahathir
Tanpa Ampun
Perdukunan Melayu
“Sepilihan judul daripada genre agama, geopolitik, biografi hingga sejarah dan Malaysiana menjadi anyaman selera bukuwan.
“Semoga tabiat membaca terus tersemai dan subur merimbun menjadikan kita bangsa membaca, bangsa berjaya,” tulis IBDE di Facebook.
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri aktif menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, termasuk naskhah klasik yang berusia ribuan tahun.
Karya terbitan IBDE, sebahagiannya dihasilkan dengan kerjasama Media Selangor, boleh diperoleh di Kedai Buku Rencana, Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara dalam talian menerusi pautan bukuibde.com







