SHAH ALAM, 10 NOV: Sebahagian laluan di Jalan Masjid India ditutup sementara selepas berlaku kejadian mendapan tanah berhampiran sebuah premis di Jalan Bonus, pagi tadi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan penutupan dibuat bagi memastikan keselamatan orang awam serta memberi ruang kepada siasatan dijalankan.
“Penutupan itu membabitkan laluan dari Lorong Masjid India 4 di sebelah masjid hingga ke kawasan terjejas bagi tujuan keselamatan dan kerja siasatan.
"Kejadian mendapan itu berlaku di Jalan Bonus, Masjid India berhampiran premis Bombay Jewellery pada jam 8.39 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut DBKL, beberapa agensi termasuk Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Pemantauan dan kerja teknikal akan diteruskan, perkembangan lanjut berkaitan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.




