Tanah mendap di Batu Arang, MPS pasang penghadang keselamatan

19 Nov 2026, 9:01 AM
Tanah mendap di Batu Arang, MPS pasang penghadang keselamatan
Tanah mendap di Batu Arang, MPS pasang penghadang keselamatan

SHAH ALAM, 19 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memasang penghadang keselamatan susulan kejadian tanah mendap di Jalan Tenaga, Batu Arang bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya dan orang awam.

MPS memaklumkan pemeriksaan tapak mendapati kawasan mendap berukuran kira-kira 4.5 meter panjang, 2.5 meter lebar dan 1.2 meter dalam.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerosakan struktur saliran, namun pemeriksaan turut mendapati sebahagian pembetung bulat (round culvert) masih dalam keadaan baik.

"Hasil pemeriksaan mendapati mendapan tanah dipercayai berpunca daripada kerosakan pada struktur box culvert, longkang dan sump di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan turut mendapati sebahagian struktur round culvert berada dalam keadaan baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan struktur saliran yang mengalami kerosakan di Jalan Tenaga, Batu Arang, dipercayai menjadi punca kejadian tanah mendap. Foto Facebook MPS

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pemeriksaan dijalankan bagi menilai keadaan struktur saliran serta mengenal pasti punca kejadian.

MPS turut akan menyediakan cadangan kerja-kerja pembaikan struktur saliran di bahagian pelepasan akhir air (final discharge) bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik dan mengurangkan risiko kejadian berulang.

"MPS komited untuk terus melaksanakan pemantauan dan tindakan penyelenggaraan infrastruktur demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat," katanya.

Berdasarkan data portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 20 mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Rawang setakat jam 11 pagi tadi.

Secara keseluruhan, Selangor merekodkan 1,652 mangsa daripada 437 keluarga di 11 PPS membabitkan Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Gombak.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.