SHAH ALAM, 11 NOV: Kerja pembaikan permukaan jalan yang terjejas akibat insiden mendapan berhampiran kawasan Masjid India, Kuala Lumpur selesai pada 6 petang semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan Jalan Masjid India yang ditutup sebagai langkah keselamatan telah dibuka semula kepada laluan awam.
"Siasatan mendapati mendapan berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan.
"DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar,” maklumnya menerusi kenyataan.
DBKL menegaskan keselamatan orang awam menjadi keutamaan, dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan.
Terdahulu, DBKL memaklumkan terdapat kejadian mendapan berlaku di Jalan Bonus, berhadapan premis Bombay Jewellery pada 8.39 pagi tadi.
Susulan itu, pasukan DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal dan menilai tahap risiko struktur di kawasan berkenaan.




