BANTING, 5 JUN: Kerja pembaikan keretakan struktur bangunan kediaman akibat tanah mendap di Jalan Biduk 2/7, Taman Seri Dagang 3, Kampung Labohan Dagang akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terjejas terus terpelihara.
Perkara itu dibincangkan menerusi Mesyuarat Khas Pelaksanaan Membaiki Keretakan Struktur Bangunan Kediaman Akibat Tanah Mendap yang diadakan di Bilik Mesyuarat Cempaka Kuning, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MPKL, Ts. Syamsol Herwan Ahmad bersama Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Mohd Khairul Darin.
Turut hadir wakil Ahli Parlimen Sepang, Hazril Harun; Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 21, Nur Zairina Muzaini; selain wakil pemaju dan penduduk yang terlibat.
MPKL dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan tindakan susulan serta meneliti pelaksanaan kerja pembaikan yang akan dijalankan di kawasan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan isu keretakan struktur bangunan dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan demi menjamin keselamatan penduduk.
"MPKL akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyelaras tindakan bersama semua pihak berkepentingan bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dilaksanakan.
"Usaha ini penting bagi menjaga kebajikan serta keselamatan penduduk yang terlibat," menurut kenyataan itu.








