ad

Selangor mampu anjur Sukan Solidariti Islam 2029 dengan cemerlang

9 Nov 2025, 1:00 PM
Selangor mampu anjur Sukan Solidariti Islam 2029 dengan cemerlang

SHAH ALAM, 9 NOV: Selangor diyakini mampu menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah Sukan Solidariti Islam (ISG) 2029 dengan cemerlang, berbekalkan rekod penganjuran pelbagai temasya sukan berskala besar sebelum ini.

Penganalisis sukan Dato’ Dr Pekan Ramli berkata keupayaan Selangor menyediakan fasiliti sukan terbaik dan bertaraf antarabangsa tidak boleh disangsikan, khususnya menjelang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Tambahan pula, secara kebetulan Selangor akan menganjurkan temasya SUKMA 2026 nanti dan pasti terdapat kesinambungan yang baik daripada aspek penyediaan fasiliti dan penyelengaraan serta kepakaran dan pengalaman untuk lebih bersedia sebagai penganjur nanti.

“Malah dijangkakan ISG 2029 ini akan menjadi lebih meriah kerana Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijangka siap sepenuhnya pada waktu itu. Ini satu lagi mercu tanda kejayaan Selangor di persada antarabangsa khususnya kepada atlet-atlet negara Islam yang hadir,” katanya kepada Media Selangor.

Tambahnya, pemilihan itu merupakan satu penghormatan besar serta mencerminkan kepercayaan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terhadap negeri ini serta Malaysia secara keseluruhan, sekali gus membawa kesan positif kepada sosial, ekonomi dan budaya.

Katanya, lokasi strategik Selangor sebagai sebuah negeri yang mengelilingi Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah satu keistimewaan yang tidak dimiliki oleh negeri lain di Malaysia.

“Ia lambang keupayaan dan kemampuan sebuah negeri yang diberi tanggungjawab sebagai penganjur sebuah temasya sukan bertaraf antarabangsa.

“Selangor akan lebih mashyur dan dikenali dalam kalangan negara pakatan OIC sebagai antara negeri termaju di rantau sebelah Timur, selepas Palembang, Indonesia yang menjadi tuan rumah edisi ketiga pada 2013.

“Ini sudah pasti akan membawa impak ekonomi kepada Selangor dengan jangkaan kehadiran lebih 50 negara peserta dan menghimpunkan lebih daripada 4,000 atlet serta pegawai,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemilihan Selangor sebagai tuan rumah menunjukkan keyakinan negara luar terhadap keupayaan negeri ini menganjurkan kejohanan membabitkan sehingga 57 negara.

Jelasnya lagi, pengalaman sebagai tuan rumah SUKMA 2026 akan memperkukuh persediaan Selangor menjelang ISG 2029.

Selain Malaysia, Uzbekistan dan Iran turut membida menjadi tuan rumah temasya berprestij itu.

Edisi ISG tahun ini sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bermula 7 hingga 21 November, menghimpunkan atlet elit dari 57 negara dalam 23 acara bertaraf dunia.

EXCO Pembangunan Sukan Najwan Halimi berkata KSSA yang dijangka siap menjelang 2028 bakal dimanfaatkan sebagai venue utama menyambut atlet ISG 2029.

Menurutnya, Selangor kini memulakan persiapan rapi sebagai tuan rumah temasya itu termasuk menentukan jenis acara yang bakal dipertandingkan.