ad

Selangor bersedia anjur Sukan Solidariti Islam 2029, KSSA jadi venue utama

9 Nov 2025, 2:38 AM
Selangor bersedia anjur Sukan Solidariti Islam 2029, KSSA jadi venue utama

SHAH ALAM, 9 NOV: Kompleks Sukan Shah Alam yang dijangka siap menjelang 2028 bakal dimanfaatkan sebagai venue utama menyambut atlet Sukan Solidariti Islam (ISG) edisi ketujuh yang akan berlangsung pada 2029.

EXCO Pembangunan Sukan Najwan Halimi berkata Selangor kini memulakan persiapan rapi sebagai tuan rumah temasya itu termasuk menentukan jenis acara yang bakal dipertandingkan.

“Ini sebahagian daripada strategi Kerajaan Negeri sebagai hos. Semua perkara akan diteliti termasuk jumlah acara yang akan dianjurkan.

“Keputusan tersebut bergantung kepada Selangor, namun acara asas pasti akan diadakan. Semua perincian akan dibincang secara teratur,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Persatuan Sukan Solidariti Islam (ISSA) mengumumkan Selangor sebagai hos sukan ketiga terbesar dunia selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

Menurut Najwan, pemilihan ini memberi kelebihan besar kepada Selangor untuk muncul sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.

“Pemilihan Selangor meningkatkan reputasi negeri sebagai hab sukan utama negara. Kejayaan ini hasil usaha sama antara Kerajaan Selangor dan Majlis Olimpik Malaysia dengan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan.

“Ketika ini pentadbiran giat memperkukuh infrastruktur dan menaiktaraf fasiliti sukan sebagai persediaan menganjur Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan ISG 2029.

“Ini adalah pengiktirafan kerana Selangor diberi kepercayaan oleh ISSA yang bernaung bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemilihan Selangor sebagai tuan rumah menunjukkan keyakinan negara luar terhadap keupayaan negeri ini menganjurkan kejohanan membabitkan sehingga 57 negara.

Jelasnya lagi, pengalaman sebagai tuan rumah SUKMA 2026 akan memperkukuh persediaan Selangor menjelang ISG 2029.

Selain Malaysia, Uzbekistan dan Iran turut membida menjadi tuan rumah temasya berprestij itu.

Sementara itu, edisi ISG tahun ini sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bermula 7 hingga 21 November, menghimpunkan atlet elit dari 57 negara dalam 23 acara bertaraf dunia.

Malaysia turut mencipta rekod membanggakan apabila berada di tempat ke-10 carta keseluruhan dengan 91 pingat setakat ini, merangkumi 33 emas, 23 perak dan 41 gangsa sekali gus memperlihatkan kekuatan kontinjen negara di pentas antarabangsa.