ad

Sukan Solidariti Islam 2029: Selangor terima bendera rasmi di Riyadh

22 Nov 2025, 9:02 AM
Sukan Solidariti Islam 2029: Selangor terima bendera rasmi di Riyadh
Sukan Solidariti Islam 2029: Selangor terima bendera rasmi di Riyadh

SHAH ALAM, 22 NOV: Selangor secara rasmi menerima tanggungjawab sebagai tuan rumah Sukan Solidariti Islam 2029 selepas berlangsungnya majlis penyerahan bendera kejohanan di Riyadh, malam tadi.

Penyerahan simbolik berkenaan diadakan sempena Upacara Penutupan Sukan Solidariti Islam ke-6 di Stadium Universiti Puteri Nourah Bint Abdulrahman, menandakan perpindahan rasmi penganjuran temasya sukan berprestij itu kepada Selangor dan Majlis Olimpik Malaysia (NOC Malaysia).

Dalam segmen akhir upacara, Yang Mulia Putera Fahd Bin Jalawi Bin Abdulaziz Bin Musaed, Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi (SOPC) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penganjur Sukan Solidariti Islam ke-6, menyerahkan bendera ISSA kepada Presiden ISSA, Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal yang juga Menteri Sukan Arab Saudi dan Presiden SOPC.

Baginda kemudian menyerahkan bendera tersebut kepada EXCO Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi, serta Setiausaha Agung NOC Malaysia, Mohd Nasir Ali, sekali gus mengesahkan Selangor sebagai penganjur rasmi Sukan Solidariti Islam ke-7.

“Bagi pihak Dr Norza Zakaria, Presiden NOC Malaysia dan Naib Presiden OCA Zon Asia Tenggara, kami merakamkan penghargaan kepada ISSA atas kepercayaan yang diberikan kepada NOC Malaysia dan Selangor untuk menganjurkan Sukan Solidariti Islam ke-7 pada 2029,” kata Mohd Nasir menerusi hantaran di laman rasmi Olympic Council of Malaysia.

Tambah beliau, penganjuran edisi 2029 bakal mencatat sejarah penting dalam gerakan sukan negara Islam di Malaysia.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Selangor dan ISSA untuk menganjurkan satu lagi edisi Sukan Solidariti Islam yang gemilang, diserikan dengan hospitaliti Malaysia yang terkenal,” katanya.

Pada 8 November lalu, Selangor dipilih sebagai tuan rumah Sukan Solidariti Islam 2029 oleh Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA), sekali gus mencerminkan keyakinan dunia terhadap kemampuan negeri itu menganjurkan pertandingan membabitkan 57 negara.