SHAH ALAM, 9 NOV: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa bot karam di Pulau Tarutao di kawasan, perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi itu dilaksanakan selepas beberapa mangsa yang disyaki imigran dari Myanmar ditemukan di sekitar perairan Langkawi, semalam.
“Berdasarkan laporan yang diterima dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, dua lelaki dan seorang wanita disyaki imigran Myanmar ditemukan hanyut di perairan Tanjung Chincin. Mereka telah diselamatkan oleh kru sebuah kapal pada 8.30 pagi sebelum dibawa ke jeti dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pada 2.05 petang, bot milik Maritim Malaysia, PETIR 81 menemukan mayat seorang wanita terapung di laut dan telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi. Selepas itu, aset sama turut mengesan seorang lelaki warga Bangladesh di atas sebuah kapal layar sebelum mangsa diselamatkan dan diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam operasi berasingan, aset BENTENG 7 turut menjumpai seorang wanita disyaki imigran Myanmar di atas sebuah vesel nelayan tempatan.
“Pada 11.45 malam tadi, bot PETIR 81 telah mengiringi sebuah kapal layar yang menemukan empat orang lelaki Myanmar, manakala seorang lagi mangsa yang turut disyaki dari Myanmar dijumpai terdampar di kawasan Kelab Golf Datai dan kesemua mereka telah diserahkan kepada pihak polis.
“Setakat ini, sebanyak 11 orang termasuk satu mayat telah dijumpai dan kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa baharu yang masih berada di laut. Berdasarkan maklumat risikan awal, bot yang dinaiki mangsa berlepas dari Buthidaung, Myanmar dengan anggaran 300 penumpang dan dipercayai telah karam tiga hari lepas di kawasan sempadan perairan Thailand–Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Romli menegaskan Malaysia bukannya transit bagi sebarang cubaan kemasukan tidak sah ke negara ini.
“Sindiket rentas sempadan kini semakin aktif mengeksploitasi imigran dengan menjadikan mereka mangsa perdagangan manusia menggunakan laluan laut yang berisiko tinggi. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia,” katanya.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia sedang melaksanakan Operasi Guard 5.0 bersama-sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha menjaga sempadan perairan Malaysia–Thailand serta mengekang kemasukan bot pendatang tanpa izin, khususnya dari Myanmar.
Beliau berkata orang ramai diminta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia melalui talian 04-966 2750 atau 04-966 5307.
Terdahulu, Sebuah bot dipercayai membawa 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada Myanmar, Bangladesh dan Rohingya pecah di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata bot berkenaan sebahagian daripada kapal besar yang membawa kira-kira 300 orang sebelum dihantar sindiket ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan negara,.




