SEKINCHAN, 8 NOV: Dianjur sejak 2022, kini Festival Ban Canal menerima peserta luar negara walaupun diadakan di kawasan luar bandar, kata EXCO Kemajuan Desa dan Luar Bandar, Datuk Rizam Ismail.
Menurutnya, peserta dari China yang berada di kedudukan kelima dunia bagi sukan Stand Up Paddling (SUP) turut memilih festival di Sekinchan itu sebagai salah satu lokasinya berentap dengan peserta dari Jepun dan Malaysia.
“Pencapaian program semakin baik saban tahun, penyertaan amat membanggakan dan menggalakkan. Ia bukan saja tarik pelancong luar dan dalam untuk lebih mengenali apa itu Ban Canal sebuah terusan yang dibina sejak zaman British.
“Tetapi festival ini berjaya meningkatkan aktiviti ekonomi orang tempatan,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas majlis perasmian Festival Ban Canal di Simpang Lima Sekinchan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Acara berlangsung dari 7 hingga 9 November itu mempertaruhkan pertandingan sukan air sebagai acara utama. Ia turut dimeriahkan dengan jualan makanan usahawan Platform Selangor (PLATS) dan reruai pameran agensi kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Rizam turut berbangga apabila festival itu meraih Acara ‘Pelancongan Terbaik di di Anugerah Industri Pelancongan anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA).
Jelasnya, acara itu menerima hampir 20,000 pengunjung dalam dan luar negara pada tahun ini sekali gus membuka potensi besar pelancongan desa dan pertanian.
“Anugerah pelancongan ini bukan datang bergolek, ia telah disusun dengan kerangka dan pengisian yang baik oleh MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)). Ia pencapaian baik dan menjadi penanda aras. Boleh ditambah baik dan program itu terus diperkenalkan,” katanya lagi.









