SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 3,447 murid memerlukan dari 98 sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) seluruh negeri menerima bantuan tambang bas sekolah tahun ini, kata EXCO pembasmian kemiskinan.
Membabitkan peruntukan RM1.034 juta, bantuan itu menurut V Papparaidu, bagi meringankan beban beban kewangan ibu bapa atau penjaga dalam menampung kos pengangkutan anak-anak ke sekolah.
"Usaha ini bukan sahaja memastikan kesinambungan pendidikan tetapi berperanan penting dalam menangani masalah ponteng sekolah dan keciciran disebabkan isu kos pengangkutan," katanya.
Beliau ditemui dalam program serahan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini. Menerusinya, setiap murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) akan menerima bantuan RM300 setahun.
Dalam pada itu, Papparaidu menjelaskan Selangor sentiasa prihatin terhadap peningkatan tahap pendidikan rakyat, termasuk dalam kalangan masyarakat India.
Menurutnya, negeri memperuntuk jumlah signifikan setiap tahun bagi memastikan komuniti India, terutama dari kategori B40, tidak ketinggalan dalam pembangunan pendidikan dan sosial.
"Tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan akses kepada pendidikan yang saksama dan inklusif," katanya.




