SHAH ALAM, 23 JUN: Lebih 60,000 ketua isi rumah di Selangor berjaya keluar daripada kategori miskin dan miskin tegar hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), kata EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu.
Beliau berkata pencapaian itu menjadi antara asas penting kepada agenda pembasmian kemiskinan yang akan terus diperkukuh menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), khususnya dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan memperluas mobiliti sosial.
Menurutnya, sebanyak 46 program di bawah Inisiatif Iltizam Selangor Penyayang telah dilaksanakan sepanjang tempoh RS-1, merangkumi bantuan keusahawanan, latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan bagi membantu golongan memerlukan membina sumber pendapatan yang lebih mampan.

“Usaha pembasmian kemiskinan bukan hanya tertumpu kepada pemberian bantuan semata-mata tetapi turut melibatkan pembangunan kapasiti individu supaya mereka mampu meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan secara mampan.
“Kerajaan Negeri juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang sentiasa menyalurkan bantuan kepada rakyat serta menyokong pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan segmen Teh Tarik Kopi O terbitan Selangor FM di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Papparaidu berkata kejayaan tersebut turut disokong kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan institusi masyarakat dalam memastikan bantuan serta program yang dirancang sampai kepada kumpulan sasar secara berkesan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa isu kemiskinan tidak boleh dianggap selesai sepenuhnya kerana masih terdapat keluarga yang berisiko kembali berada dalam kategori miskin susulan perubahan ekonomi dan faktor semasa.
Sehubungan itu, katanya, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan menerusi pelbagai saluran termasuk rekod komuniti setempat di masjid, kuil dan sekolah bagi mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan.

Mengulas hala tuju RS-2, Papparaidu berkata Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh mobiliti sosial, meningkatkan pendapatan isi rumah, membangunkan bakat serta kemahiran masa depan dan mengukuhkan jaringan perlindungan sosial.
Pada masa sama, beliau menggesa penerima bantuan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan melalui latihan, pekerjaan dan program pembangunan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.
“Bantuan yang diberikan adalah pemangkin untuk mengubah kehidupan. Penerima juga perlu memainkan peranan dan berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan demi masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RS-2 yang bakal dibentangkan dalam masa terdekat akan memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar termasuk Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Beliau berkata agenda pembangunan lima tahun hingga 2030 itu bukan sahaja bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, malah memastikan kesejahteraan dan kelestarian kehidupan rakyat terus diperkukuh.










