SHAH ALAM, 6 SEPT: Seramai 3,452 murid kurang berkemampuan di 99 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh Selangor menerima manfaat Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah SJKT Selangor 2026 bernilai RM1.2 juta.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata bantuan itu disalurkan dalam bentuk baucar RM300 bagi membantu keluarga B40 dan penduduk di kawasan estet menampung kos pengangkutan anak ke sekolah.
Menurutnya, bantuan berkenaan penting khususnya bagi keluarga yang berdepan kekangan kewangan dan masalah pengangkutan untuk memastikan murid dapat hadir ke sekolah tanpa halangan.

“Bantuan ini penting bagi memastikan murid-murid ini dapat hadir ke sekolah tanpa halangan kewangan dan mendapatkan pendidikan sepatutnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Papparaidu berkata permohonan dibuka kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah, dengan satu baucar diperuntukkan bagi setiap keluarga.
“Ibu bapa juga wajib berdaftar sebagai pengundi di Selangor bagi melayakkan permohonan bantuan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengambil maklum aduan berhubung sebahagian murid yang layak tetapi masih belum menerima bantuan berkenaan.
Katanya, Kerajaan Negeri akan meneliti aduan terbabit bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk memperluas manfaat program kepada lebih ramai murid daripada keluarga B40 yang memerlukan pada masa akan datang.







