OLEH DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 27 JULAI: Seramai 3,594 pelajar sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) di seluruh negeri menerima subsidi tambang bas sekolah dengan peruntukan lebih RM1 juta tahun ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau menjelaskan menerusi bantuan itu pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang RM2,000 sebulan menerima bantuan RM300 setiap seorang.
"Di Selangor program ini dapat kita rancang dengan menggunakan sumbangan yang diagihkan bagi perayaan Deepavali, Ponggal dan Thaipusam.
"Pada masa sama bantuan tambang bas ini ditransformasikan supaya ibu bapa dalam kategori B40 dapat gunakan sumbangan ini beli keperluan pelajar contohnya pakaian seragam, buku sekolah dan alat tulis. Dalam hal ini negeri menjadi perintis,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.
Ganabatirau berkata bantuan itu ditambah baik dengan meningkatkan peruntukan kepada lebih RM1 juta berbanding hanya RM169,000 subsidi untuk 564 pelajar pada 2013.
Pada 8 Jun lalu Ganabatirau mengumumkan seramai 26,258 pelajar SJKT di seluruh negeri menerima bantuan subsidi tambang bas sekolah sejak 2013.
Lebih RM7 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi meringankan beban ibu bapa berikutan sebahagian besar tinggal di pedalaman atau ladang, yang jauh dari sekolah.
Menurutnya bantuan tahun ini diuruskan sepenuhnya pihak sekolah mengikut dana disalurkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) untuk membolehkan agihan dibuat lebih cepat.




