Tingkat kemudahan sekolah, 87 SJKT terima peruntukan antara RM30,000 hingga RM120,000

4 Nov 2026, 9:46 AM
Tingkat kemudahan sekolah, 87 SJKT terima peruntukan antara RM30,000 hingga RM120,000
Tingkat kemudahan sekolah, 87 SJKT terima peruntukan antara RM30,000 hingga RM120,000

SHAH ALAM, 4 NOV: Sebanyak 87 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang layak di Selangor bakal menerima peruntukan antara RM30,000 hingga RM120,000 setiap sekolah.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu berkata, bantuan menerusi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2026 itu bertujuan memperkukuh pembangunan pendidikan serta meningkatkan kualiti pembelajaran dan kemudahan sekolah Tamil.

“Setiap sekolah perlu membahagikan peruntukan diterima kepada dua bahagian, iaitu 50 peratus untuk pembangunan kurikulum dan baki 50 peratus lagi bagi penambahbaikan infrastruktur.

“Pembahagian itu bagi memastikan bantuan dimanfaatkan secara seimbang, bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan kemahiran murid, malah memperbaiki kemudahan serta persekitaran sekolah,” katanya menerusi Facebook.

Surat tawaran bantuan itu akan disampaikan pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Selangor sempena sambutan Hari Deepavali yang dijadual berlangsung pada 14 November ini di Dataran Klang@Padang Chetty, Klang.

Menurut Papparaidu, Kerajaan Negeri kekal komited memastikan sektor pendidikan terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran warga sekolah Tamil, pendidik, ibu bapa serta masyarakat setempat untuk memeriahkan majlis berkenaan.

Papparaidu berkata, pendidikan merupakan pelaburan masa depan yang perlu diperkukuh bagi memastikan setiap anak mendapat peluang pembelajaran berkualiti, kemudahan lebih baik serta persediaan kemahiran untuk menghadapi cabaran mendatang.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.