ad

Ribuan rakyat meriahkan Santunan Kasih Pengantin Diraja di Dataran Kemerdekaan

7 Nov 2025, 3:36 PM
Ribuan rakyat meriahkan Santunan Kasih Pengantin Diraja di Dataran Kemerdekaan
Ribuan rakyat meriahkan Santunan Kasih Pengantin Diraja di Dataran Kemerdekaan
Ribuan rakyat meriahkan Santunan Kasih Pengantin Diraja di Dataran Kemerdekaan
Ribuan rakyat meriahkan Santunan Kasih Pengantin Diraja di Dataran Kemerdekaan

SHAH ALAM, 7 NOV: Ribuan rakyat Selangor membanjiri Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi bagi memeriahkan Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja sempena perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Majlis penuh adat itu bermula dengan ketibaan pasangan diraja tepat jam 8.55 malam, menaiki kereta Rolls-Royce dipandu sendiri Tengku Amir Shah sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh rakyat.

Baginda berdua kemudiannya beramah mesra dengan pengunjung sebelum berangkat ke kawasan padang untuk duduk santai bersama rakyat, mencerminkan hubungan mesra antara istana dan rakyat jelata.

Acara dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Miszairi Sitiris, diikuti persembahan kebudayaan oleh komuniti Orang Asli Mahmeri Pulau Carey serta tarian zapin yang memukau.

Persembahan tarian Orang Asli Mahmeri dalam Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 7 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pasangan diraja turut menonton tayangan video menyorot detik sepanjang istiadat perkahwinan, termasuk ucapan tahniah daripada rakyat, agensi Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Majlis diteruskan dengan santapan makan malam diraja, diiringi alunan muzik romantis oleh Kombo Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Baginda berdua kemudian berkenan memotong kek tiga tingkat dan pulut kuning, selain menerima cenderamata istimewa daripada wakil sembilan daerah di Selangor.

Suasana malam bertambah meriah apabila kumpulan Teman Lelaki, Masdo dan Faizal Tahir, artis pilihan peribadi Tengku Amir Shah membuat persembahan istimewa sebelum majlis diakhiri dengan pertunjukan laser aurora dan bunga api yang menerangi langit Shah Alam.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz (tengah) turut serta dalam permainan baling tin dalam Sukan Rakyat Santunan Kasih Pengantin Diraja bersama rakyat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 7 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Terdahulu pada sebelah petang, pasangan diraja berkenan menyertai aktiviti sukan rakyat yang turut disertai masyarakat pelbagai lapisan, menandakan semangat perpaduan dan kasih antara rakyat serta institusi diraja.

Pasangan diraja ini dinikahkan pada 2 Oktober lalu oleh Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir, disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.

Ijab kabul dilafazkan pada jam 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) sebagai simbolik sempurnanya istiadat pernikahan.

Sementara itu, Istiadat Persandingan Diraja berlangsung pada 22 Oktober di Istana Alam Shah, Klang, disaksikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.