ad

Kebijaksanaan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini tawan hati Raja Muda Selangor

2 Okt 2025, 4:26 AM
Kebijaksanaan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini tawan hati Raja Muda Selangor
Kebijaksanaan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini tawan hati Raja Muda Selangor
Kebijaksanaan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini tawan hati Raja Muda Selangor
Kebijaksanaan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini tawan hati Raja Muda Selangor
Kebijaksanaan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini tawan hati Raja Muda Selangor

SHAH ALAM, 2 OKT: Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz merupakan antara individu yang giat memperjuangkan inisiatif pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti menerusi pembangunan inklusif di seluruh negara.

Dilahirkan pada 11 April 1993 di Hospital Pantai, Kuala Lumpur, beliau merupakan anak ketiga dan satu-satunya puteri kepada pasangan Dato’ Abdul Aziz dan Datin Rosmawati Ismail.

Datin Paduka Seri Afzaa menerima pendidikan awal di Garden International School, Kuala Lumpur dan melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di St. George’s, Ascot, United Kingdom, sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Pembangunan dan Ekonomi dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Minat yang mendalam terhadap daya tahan bandar dan kelestarian alam sekitar, beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Bandar Lestari (Sustainable Cities) di King’s College London.

Sepanjang pengajiannya di luar negara, beliau aktif dalam kepimpinan pelajar dan inisiatif kemasyarakatan. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden SOAS Malaysian Society dan juga wakil kampus bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Teach For Malaysia.

Sepanjang kerjaya profesional beliau, Datin Paduka Seri Afzaa pernah menerajui projek pemulihan kawasan yang rosak, untuk ditukar menjadi hutan hujan biodiversiti sekali gus dapat menjana semula ekosistem.

Datin Paduka Seri Afzaa juga merupakan Pakar Arboris Bertauliah (ISA Certified Arborist) dan penulis jemputan akhbar The Star, di mana beliau berkongsi pandangan mengenai pemeliharaan hutan hujan, isu alam sekitar dan kelestarian.

Beliau turut diundang berkongsi pandangan di peringkat global termasuk di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang diadakan di Dubai pada 2023.

Datin Paduka Seri Afzaa juga aktif dalam usaha kemasyarakatan melalui khidmat langsung kepada komuniti dan terlibat dalam program keselamatan makanan untuk komuniti Orang Asli bersama Free Food Society, serta menyokong advokasi hak asasi manusia melalui Amnesty International.

Sebagai sukarelawan Epic Home Builder, beliau telah membantu membina rumah yang selamat untuk komuniti kurang bernasib baik, khususnya Orang Asli di seluruh Malaysia.

Datin Paduka Seri Afzaa juga mengamalkan kehidupan aktif dan merupakan penyelam bertauliah (PADI Advanced Diver), pemain tenis, pelari separuh marathon selain amat meminati sukan perlumbaan Formula 1.

Kehadiran beliau dalam keluarga Diraja Selangor menandakan permulaan lembaran baharu yang bermakna - menghargai warisan tradisi di samping mengangkat nilai kemajuan dan khidmat kepada masyarakat.