ad

Raja Muda Selangor, isteri warnai sukan rakyat sempena Majlis Santunan Kasih

7 Nov 2025, 12:58 PM
Raja Muda Selangor, isteri warnai sukan rakyat sempena Majlis Santunan Kasih
Raja Muda Selangor, isteri warnai sukan rakyat sempena Majlis Santunan Kasih
Raja Muda Selangor, isteri warnai sukan rakyat sempena Majlis Santunan Kasih

SHAH ALAM, 7 NOV: Acara sukan rakyat sempena Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Selangor bukan sekadar wadah meraikan adat dan tradisi, tetapi turut mencerminkan jalinan kasih serta keakraban antara institusi diraja dengan rakyat jelata.

Kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz, menyerikan pelbagai acara sukan rakyat dan permainan tradisional, menzahirkan peribadi baginda berdua yang mesra, rendah diri serta dekat di hati rakyat.

Pegawai Kesihatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Norjannah Tahir, 45, menzahirkan rasa gembira dengan kesudian pasangan diraja itu meluangkan masa bersama rakyat dalam suasana santai dan mesra.

“Saya sangat gembira dengan penglibatan pasangan pengantin diraja kerana mereka sudi meluangkan masa dan bersukan bersama rakyat. Ini juga pengalaman pertama saya menyertai aktiviti berkaitan istana,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, penguat kuasa MBSA, Miswan Saad, 52, menyifatkan penglibatan Raja Muda Selangor dan isteri sebagai lambang kemesraan dan keprihatinan terhadap rakyat.

“Program sebegini bukan sahaja mendekatkan hubungan rakyat dan istana, malah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti tradisional.

"Saya harap majlis seperti ini dapat diteruskan di setiap daerah dan menarik penyertaan lebih ramai pihak termasuk penganjur luar,” ujarnya.

Bagi pekerja pembinaan, Mohd Zamri Parmin, 44, peluang membantu menjayakan penganjuran majlis berkenaan dianggap satu penghormatan besar.

“Saya amat berbesar hati kerana terlibat dalam penganjuran majlis sukan rakyat ini.

Ia antara acara terbesar pernah kami kendalikan. Sebagi rakyat, kami amat berterima kasih,” katanya.

Acara sukan rakyat yang berlangsung petang tadi itu turut mengangkat nilai kebersamaan, semangat kekeluargaan serta warisan budaya rakyat Selangor.