SHAH ALAM, 3 NOV: Rakyat Selangor dijemput memeriahkan Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja sempena perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor yang akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Jumaat ini.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan pelbagai acara menarik disediakan, termasuk tayangan video pernikahan Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz pada 2 Oktober lalu.
“Semua dijemput datang bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana penuh santai dan ria meraikan pasangan pengantin Diraja,” katanya menerusi Facebook.
Majlis yang bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu turut menampilkan pertunjukkan bunga api, jamuan makan serta persembahan hiburan daripada Faizal Tahir, Masdo dan Teman Lelaki.
Untuk rekod, pasangan diraja dinikahkan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir, disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.
Istiadat pernikahan yang berlangsung penuh tertib di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang turut disaksikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Majlis persandingan diraja pula dilangsungkan dengan penuh istiadat di Istana Alam Shah pada 22 Oktober lalu.







