SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat yang berlangsung meriah malam tadi, membuktikan keakraban hubungan istana dan rakyat apabila pasangan diraja berkenan turun padang meraikan masyarakat dalam suasana penuh mesra.
Pengunjung, J Susitara, 21, berkata majlis tersebut memberi peluang istimewa kepada rakyat pelbagai lapisan untuk mendekati pasangan diraja serta berkongsi kenangan.
“Saya teruja bila ada program bersama pasangan diraja. Suasana sangat mesra, bukan selalu dapat peluang macam ini. Majlis seperti ini mengeratkan hubungan rakyat dengan kerabat diraja,” katanya kepada Media Selangor.

Bagi Mohamad Nazrin Hadian, 34, pengalaman itu amat bermakna kerana bukan semua rakyat berpeluang menyaksikan perkahwinan diraja.
“Bukan semua rakyat berpeluang menyaksikan perkahwinan diraja. Program ini platform yang baik untuk mengeratkan hubungan keluarga diraja dengan rakyat serta menonjolkan keunikan Malaysia kepada pelancong,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Fairuz Jamahari, 46, meluahkan rasa bangga sebagai anak Selangor kerana dapat turut sama meraikan detik bersejarah tersebut.
“Saya memang menunggu perkahwinan diraja ini dan sangat bangga menjadi rakyat Selangor. Saya berharap Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan pasangannya terus menyantuni rakyat di setiap daerah,” katanya.
Bagi Haslinda Hassim, 35, kehadiran bersama anak-anak menjadi ruang mendidik generasi muda mengenai sejarah serta peranan institusi diraja dalam pentadbiran negeri.

“Ini peluang untuk memperkenalkan anak-anak kepada kerabat diraja. Sebagai rakyat Selangor, kita perlu tahu dan menghormati institusi diraja,” jelasnya.
Ribuan rakyat Selangor membanjiri Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi, bagi memeriahkan Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja sempena perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.
Majlis penuh adat itu bermula dengan ketibaan pasangan diraja tepat jam 8.55 malam, menaiki kereta Rolls-Royce dipandu sendiri Tengku Amir Shah sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh rakyat.
Baginda berdua kemudiannya beramah mesra dengan pengunjung sebelum berangkat ke kawasan padang untuk duduk santai bersama rakyat, mencerminkan hubungan mesra antara istana dan rakyat jelata.
Pasangan diraja ini dinikahkan pada 2 Oktober lalu oleh Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir, disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.








